Kampung Sungai Galah ( Kg. Sg. Galah ) terletak di daerah kecil Kampung Gajah,Perak. Tempat yang berhampiran ialah Changkat Tin,Chenderong,Tanjung Tualang,Kampung Gajah,Changkat Rambai,Pengkalan Nibong dan lain-lain.
Sungai Galah merupakan sungai kecil yang bersambung denganSungai Kinta di sebelah timur. Sungai Kinta pula bersambung dengan Sungai Perak.
Kampung ini asalnya kawasan penempatan dan perlombongan yang dimajukan sejak zaman penjajahan British lagi.Teknologi perlombongan dibawa dari England terutama kapal-kapal korek. Terdapatnya beberapa buah Kapal Korek Bijih Timah yang terbesar di dunia. Sekitar tahun 1970-an terdapat lima buah kapal iaitu Kapal 1 di Tanjung Tualang dan ada beberapa belas lagi Kapal 3 dan Kapal 5. Rumah-rumah pengurus dan pekerja lombong dibina di kawasan berdekatan. Pengeluaran biji timah ini merupakan pengeluaran terbesar di dunia yang dimajukan oleh Malaysia Mining Corporation ( MMC ). Apabila harga bijih timah jatuh menjunam , lombong-lombong di kawasan ini telah ditutup.
Kini anda masih lagi boleh mengunjungi kesan tinggalan kapal korek ini iaitu (Kapal 5) yang masih terdapat di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, 31000 Tanjung Tualang. Tinggalan ini adalah dibawah kawalselia Jabatan Antikuiti dan Muzium Perak Darul Ridzuan. Walaupun anda tidak dibenarkan menaiki tinggalan kapal korek ini, namun anda boleh mengambil gambar foto untuk kenang-kenangan anda tanpa sekatan.
Kawasan ini dahulunya merupakan penempatan majmuk yang diduduki oleh pelbagai kaum seperti Orang Asli,Melayu,Cina dan India. Ada klinik kesihatan, panggung wayang dan pelbagai kemudahan lain. Tanah di kawasan ini telah diwartakan kepada Penduduk Asal Kg. Sg. Galah iaitu Orang Asli. Kini Orang Asli tersebut menjadikan tanah mereka sebagai Projek Tanaman Risda Fasa I iaitu tanaman kelapa sawit. Kebanyakan daripada mereka telah berpindah dan menduduki kampung baru iaitu Kg. Tangkai Cermin.
Yang tinggal di situ hanyalah kedai runcit dan tapak panggung wayang. Rumah-rumah pengurus dan pekerja lombong telah diubahsuai menjadi Pusat Latihan UiTM. Terdapat pasar pagi pada setiap hari Jumaat.
Kg. Sg. Galah kini diduduki oleh masyarakat melayu dan banyak rumah dibina di situ. Penduduk asal yang telah berpindah ke Kg. Tangkai Cermin juga telah menikmati kemajuan dan pembangunan sejajar dengan 50 tahun negara kita merdeka. Kg. Tangkai Cermin banyak melahirkan golongan cerdik pandai seperti Bekas Senator Mendiang Itam Wali bin Nawan, Peguambela Kemala, Uda Nago, Dr. Bahari Belaton, Anak-anak mendiang Itam Wali- Elwan Awang,Elwa Lisa,Elwan Ponso dan Elwa Nita dan lain-lain lagi.
Kebanyakan penduduknya bekerja dalam sektor pertanian dan sektor perikanan. Jika dibandingkan dengan masa lalu, anak-anak di Kg. Sg. Galah kini lebih bijak pandai. Ramai anak-anak penduduk Kg. Sg. Galah yang telah melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah samaada di IPTA mahupun IPTS.
Kg. Sg. Galah terbahagi kepada beberapa kampung iaitu Kampung Makmur, Perumahan Awam, Kampung Tersusun A.A.Tin, Kampung Batu 31 dan Kampung Sg Galah. Aktiviti penduduk kampung adalah mencari ikan sungai dan di sini terkenal dengan aktiviti memancing terutamanya kepada kaki pancing dari Kuala Lumpur dan Johor.